Sunday, October 20, 2013

Geramnya.... cikgu tarik telinga saya!

Geramnya.... cikgu tarik telinga saya!? Sebenarnya bukan geram pada cikgu tapi geram pada diri sendiri. Inilah akibatnya bila manja tidak bertempat dan malas buat kerja sekolah.
 
          Kisah ini berlaku semasa saya berada dalam Darjah 1 di Methodist English School (MES). Salah satu mata pelajaran ialah Berita. Murid-murid diberi tajuk tertentu mengenai peristiwa yang berlaku di sekolah atau di rumah. Ruangan bawah untuk laporan manakala ruangan atas untuk lukisan. Tajuk berita hari ini berkaitan dengan ternakan.
 
Tajuk buku latihan Berita saya semasa Darjah 1. 
 
          Saya tak pasti macam mana hendak melukis orang sedang memberi ayam makan. Jadi saya minta emak lukiskan. Pada mulanya emak suruh saya lukis sendiri. Namun, setelah saya merengek-rengek dan tak tahan tengok saya mengada-ngada, emak pun buat kerja rumah saya sambil memangku adik. Tersengih lebar saya kerana berjaya menarik perhatian emak. Asyik layan adik saja.
 
          Beberapa hari selepas itu, Cikgu Zaharah ke Zaleha? Saya tak berapa ingat nama cikgu Bahasa Melayu ini panggil saya ke hadapan. Berdebar-debar jantung saya. Rasanya dah tahu bala apa yang menanti saya.
 
          'Siapa lukis?' tanpa mukadimah cikgu menunjuk ke muka surat pertama buku latihan saya.
          'Emak...' jawab saya jujur.
          'Kenapa suruh emak buat?' tanya cikgu lagi.
 
          Apalah jawapan yang sesuai untuk soalan begitu? Sebab saya malas? Sebab saya mengada-ngada? Kenapalah saya suruh emak lukis? Walhal saya boleh lukis sendiri. Walaupun tidak secantik lukisan emak, saya boleh melukis. Terkulat-kulat saya tak tahu nak jawab sambil menatap lukisan yang emak lukis. Kenapalah emak lukis cantik sangat. Kan dah kantoi! Melihat saya terkulat-kulat macam orang bersalah, cikgu terus mengoyak lukisan yang cantik itu dan mengeronyok kertas berkenaan macam bola.
 
         'Lain kali buat sendiri!' katanya tegas sambil menarik telinga saya. Bertambah masam muka cikgu yang sememangnya dah masam tu. Memang cari nahas betul.
 
         Adus! panasnya telinga saya. Bukan sakit sangat tapi malunya tidak terkira depan kawan-kawan. Bila duduk semula ke tempat duduk, kena ejek pula dengan anak Benggali sebab cikgu tarik telinga di depan khalayak. Geram sungguh!
 
          Sejak hari itu, saya dah tak minta emak buatkan kerja rumah lagi. Baik lukisan atau kira-kira. Semuanya saya buat sendiri. Saya tak pasti sama ada emak dapat mengagak apa yang berlaku di sekolah apabila melihat lukisan di muka surat pertama buku Berita saya dah hilang.
 
Ini kerja rumah yang saya buat sendiri. Cikgu dah koyak muka surat pertama yang asal.
 
 
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013
 
 
 
 

TELEVISYEN dulu dan sekarang

Dah ada Astro Beyond pun masih tak jumpa rancangan yang menarik. Keluh saya sendirian sambil menekan-nekan punat alat kawalan jauh TV flatscreen di ruang tamu rumah. Punyalah mewah zaman sekarang ni. Hampir semua rumah ada televisyen walaupun tinggal di kawasan perumahan kos rendah ataupun ceruk kampung. Sesetengah rumah pula mempunyai lebih dari sebuah TV. Ruang tamu satu, dalam bilik satu. Ataupun TV untuk mak bapak satu, TV anak-anak satu. Saluran pula berbagai-bagai. Kalau tidak berlanggan Astro pun boleh menonton TV1, TV2, TV3, ntv7, TV9 dan 8tv.

Zaman saya kecil dulu (1975-1976), hanya ada beberapa buah rumah sahaja di kampung yang mempunyai TV hitam putih. Saluran pula hanya TV1 dan TV2. Itupun bersiaran dari pukul 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Pada hari sabtu, siaran bermula awal sedikit iaitu pukul 3.00 petang. Cerita berbahasa Melayu hanya ada dua slot sahaja iaitu Tayangan Gambar Melayu (Jumaat malam Sabtu) dan Drama Minggu Ini (Ahad malam Isnin).

Hari Jumaat malam Sabtu adalah waktu siaran yang kami tunggu-tunggu. Setiap malam Sabtu, kami akan berjalan kaki ke rumah jiran yang terletak kira-kira 500 meter jauhnya semata-mata untuk menonton Tayangan Gambar Melayu.  Memandangkan rumah arwah Mbah Kam adalah jiran paling hampir (ada pertalian saudara pula tu) yang mempunyai TV, kami pun berduyun-duyun berkunjung ke rumahnya. Siap bawa tikar bantal lagi. Kadang-kadang sampai tertidur di rumah jiran sebelum cerita tamat. Jenuh pula nak kejut suruh balik.
 
Kami menonton TV di rumah jiran sehingga tertidur sebelum cerita tamat.
Sketsa oleh Cik Akir (dialog dalam bahasa Jawa).
 
Ceritanya masih sama macam sekarang iaitu wayang hitam putih lakonan allahyarham P.Ramlee dan pelakon-pelakon seangkatan dengannya di selang-seli dengan wayang dari Indonesia lakonan Benjamin S. Jika minggu ini cerita Melayu, minggu depan pula cerita Indonesia. Kami tak tengok Drama Minggu Ini kerana esok sekolah.
 
Sepanjang tayangan gambar berlangsung, hanya ada sekali sahaja slot iklan iaitu di pertengahan cerita. Kalau dah iklan, maksudnya, cerita tinggal separuh lagi. Tak adalah macam menonton TV sekarang ni. Sekejap-sekejap diganggu iklan. Lama pula tu, sampai terlupa sambungan cerita sebelum iklan tadi. Jika ada cerita yang menarik, Cik Akir (pak cik) akan bawa tape recorder untuk merakam suara wayang berkenaan dari corong TV. Bolehlah kami dengar semula cerita itu pada hari-hari lain.
 
Kami dah tak bertandang ke rumah jiran lagi apabila Cik Akir membeli sebuah peti televisyen hitam putih. Pada tahun 1978, TV warna mula memasuki pasaran Malaysia. Kami mula bertandang lagi ke rumah jiran yang ada TV warna. Agaknya Cik Akir terdengar kami mengumpat sewaktu dalam perjalanan ke rumah jiran 'Rumah Cik Akir dah tak laku sebab tak ada TV kaler' sebab tak lama selepas tu dia beli TV warna baru :D    
 
 
 
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013
 
 
 
 
 
 
 
 

ZAMAN BUDAK-BUDAK ERA 1970AN

Saya tak berapa ingat bila gambar ini diambil, sama ada tahun 1976 atau 1977. Walaupun hidup sederhana, zaman budak-budak kami penuh kembara dan menyeronokkan. Kami sekeluarga berpindah ke rumah arwah embah pada tahun 1975 selepas arwah abah meninggal dunia. Keluarga embah agak besar dan kebanyakannya tinggal di Jalan Melati (sekitar Masjid Al-Ihsaniah) dan Pekan Batu 1 (Surau Kiyai Husain). Jadi, ramailah rakan-rakan sebaya yang rata-ratanya mempunyai hubungan saudara termasuk sepupu, dua pupu, pak cik atau mak cik.
 
Rakan-rakan sepermainan. Berdiri dari kiri: Kak Maton (kakak), Acum (sepupu), saya dan Wak Aris (bapa saudara). Duduk dari kiri: Paman Izam (bapa saudara), arwah Abdul Habib (adik).
Lokasi: Hadapan rumah arwah Embah.

Pada zaman itu tiada ipad, facebook, tweeter, handphonecandy crush atau xbox. Dunia kami seluas kebun-kebun kopi dan getah, dan sejauh kayuhan basikal menyelusuri jalan-jalan yang ada di Kg. Sijangkang. Rumah saudara-mara bagaikan rumah sendiri yang mana budaya saling bertandang ke rumah jiran masih diamalkan.
 
Kami bermain sepanjang hari pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) selepas selesai membasuh baju dan kasut sekolah, manakala pada hari persekolahan, kami bermain dari lepas asar hingga azan berkumandang di masjid. Main apa sahaja asalkan meriah. Tidak kira sama ada teng-teng, rounders (ala-ala permainan baseball), congkak, gila-gila (main kejar-kejar), sorok-sorok, dan macam-macam lagi. Kalau masih bosan, kayuh basikal keliling kampung sampai penat. Kami gunakan pecahan kaca sebagai buah teng-teng, biji kelapa muda sebagai bola rounders, biji getah untuk main congkak. Papan congkak? Tidak susah. Korek saja lubang atas tanah. Permainan gila-gila dan sorok-sorok tak perlukan modal.
 
Menjelang senja, tatkala arwah Apak (atuk saya imam masjid) sudah mengayuh basikal ke masjid, kami kena balik dan mandi. Kalau azan sudah berkumandang, tetapi masih berada di halaman rumah, memang kena libas dengan ranting kopi. Jangan cari pasal! Saya pernah juga dapat satu atau dua das dari emak. He..he..he..  Lepas sembahyang maghrib ada sesi mengaji al-Quran, makan malam dan buat kerja sekolah.
 
Anak-anak zaman sekarang tidak ramai yang merasa pijak tanah tanpa kasut. Malam tidur dalam bilik air-con. Bangun pagi mandi air panas. Makan pakai bibik sediakan. Pergi dan balik sekolah dihantar menaiki kereta atau motosikal. Waktu luar persekolahan pula dipenuhi dengan tusyen walaupun masih bersekolah rendah. Main permainan dalam komputer atau sms/tweet/whatapps hampir setiap masa. Zaman dah berubah, hidup semakin senang. Tapi makin stress. Apabila melihat keadaan seperti ini, saya lebih suka zaman budak-budak pada era 1970an.
 
 
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013 
 
 
 

Tuesday, September 3, 2013

PERTEMUAN SELEPAS 33 TAHUN DI SK SIJANGKANG

 

Majlis pelancaran Alumni pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sijangkang pada 30hb Ogos 2013 mempertemukan semula rakan-rakan lama yang belajar di sekolah ini. Ada diantaranya yang tidak saya temui sejak 33 tahun yang lalu. Rakan-rakan yang sempat saya temui di majlis ini ialah Hartati, Hidayu, Khuliyatun, Achek (Noraiza), Zuraiha, Siti Razuna, Anita Saleh, Rosminah, Norazmi, Norizam, Zamri, Bihar dan Berantas. Walaupun sekejap dan terpaksa bergegas pulang ke Bangi, sekurang-kurangnya dapat juga bertukar cerita dan nombor telefon. Semoga silaturrahim kita kekal berpanjangan. Saya juga telah bertemu dengan anak saudara saya (Cikgu Dewi Rina) yang menjadi salah seorang guru di sekolah ini. 

 
Backdrop Majlis Makan Malam Alumni SK Sijangkang.
 
Meja nombor 7 : Dari kiri; Hartati, Achek, Siti Razuna, Zuraiha, Anita, Hidayu, Habibah (saya), Jamal (suami saya)
 
Saya memasuki Sekolah Kebangsaan Sijangkang agak lewat berbanding rakan-rakan lain. Satu penggal di Methodist English School (MES) di Banting agak membebankan bagi kami adik-beradik yang berulang dari Sijangkang ke sekolah. Bangun tidur sekitar 4.30 pagi, membonceng basikal sejauh satu km sebelum menaiki bas ke Banting setiap hari amat memenatkan. Pada waktu petang pula, kami tiba di rumah sekitar jam 3.00 petang. Maka, saya dan dua orang kakak pun berpindah ke sekolah ini pada tahun 1975 selepas 4 bulan bersekolah di MES.

Hari pertama memasuki Darjah 1C seliaan Cikgu Sumiah sangat mengujakan. Sebagai murid baru, tempat duduk tidak mencukupi. Sejurus selepas diperkenalkan kepada rakan-rakan sekelas, ada pelajar yang tolong angkat kerusi dan meja untuk saya duduk. Tidak lama kemudian beberapa orang murid perempuan mula menyapa dan berkenalan manakala budak lelaki hanya senyum-senyum dari jauh. Antara rakan yang mula menyapa ialah Khuliyatun (ketua Darjah 1C), Zuraiha dan Isnani. Lama-kelamaan kawan pun semakin ramai. Rakan-rakan darjah 1C yang masih diingati ialah Masitah, Zaratullail, Faridah, si kembar Rusina dan Rusini, Muzamil, Sa'don, Husaini (Atan), Mohd Alaqod, Nisrina dan beberapa orang lagi.
 
Siti Razuna, Zuraiha dan Anita Saleh.
 
 
Achek dan Khuliyatun (ketua Darjah 1C 1975).
 
Bihar (Rakan sekelas dari Darjah 2A hingga 6M) dan Sahalan.
 
Azmi dan Zamri (kami duduk bersebelahan sewaktu Darjah 4M).
 
Dr Hartati (Rakan sekelas dari darjah 2A hingga 6M) dan Achek.
 
Hidayu dan Habibah (saya).
 

Kehadiran pelajar dalam kelas ini tidak pernah penuh. Setiap hari ada saja murid yang tidak hadir atas sebab-sebab mereka yang tersendiri. Namun, perjalanan kelas sangat menyeronokkan. Cikgu Sumiah (cikgu idola sepanjang zaman persekolahan) yang cantik manis sangat pandai mengajar, bersifat keibuan dan sangat sabar melayan kerenah kami yang tidak makan saman. Sesetengah pelajar tidak boleh duduk diam. Suka berlari-lari dan berkejaran di dalam kelas sebaik sahaja cikgu duduk (bukan cikgu keluar) termasuklah saya sendiri. Mata pelajaran 'Tulisan' paling berpotensi untuk kami bermain-main kerana sebaik sahaja Cikgu Zainal masuk kelas, beliau akan menulis 'Ini sekaki payung' dan melukis gambar sekaki payung di sebelah tulisan berkenaan. Selepas memberi arahan "Murid-murid, sila salin ayat ini. Siapa dah siap boleh hantar" dia akan duduk di meja guru sehingga waktu tamat. Bagi budak yang sudah pandai menulis dan melukis, saya siapkan tugasan ini dalam masa yang singkat. Masa yang selebihnya saya habiskan untuk bermain-main di dalam kelas. Meja di kelas ini disusun dalam empat barisan yang mana setiap satunya terdiri daripada beberapa meja yang disusun saling menghadap. Bahagian bawah meja yang bersambung itu kelihatan seperti terowong yang menganjur dari hadapan ke belakang kelas. Sudah tentulah ia sangat menarik untuk diterokai terutama bagi saya yang duduk di meja kedua dari belakang.
 
Lakaran bilik Darjah 1C 1975.
 
Suatu hari, selepas penat bermain-main di bawah meja, tidak sedar saya tertidur di situ sehinggalah tiba ke mata pelajaran yang seterusnya. Apabila terjaga dari tidur, terlihat Cikgu Sumiah sedang merenung saya yang mengerekot di atas lantai sambil berkata "Habibah, saya ingat kamu dah mati!". Dengan muka selamba dan terpisat-pisat, sayapun kembali duduk ke tempat asal. Terlintas di fikiran ketika ini, kalaulah saya menjadi budak-budak pada tahun 2013, mungkin dipaksa atau terpaksa bertemu kaunselor atau menjalani rawatan psikiatri kerana terlalu aktif (hyperactive). Mujurlah, pada 1975 keaktifan sebegini dianggap sebagai 'nakal' dan tiada rawatan untuk nakal.

Kepada cikgu-cikgu dan rakan-rakan yang mengenali diri saya sewaktu zaman persekolahan lebih 3 dekad yang lalu, saya memohon maaf atas segala kenakalan yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak. Semua itu menjadi kenangan manis buat saya.
 
 
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013


 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

 
 

 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Wednesday, August 28, 2013