Majlis pelancaran Alumni pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sijangkang pada 30hb Ogos 2013 mempertemukan semula rakan-rakan lama yang belajar di sekolah ini. Ada diantaranya yang tidak saya temui sejak 33 tahun yang lalu. Rakan-rakan yang sempat saya temui di majlis ini ialah Hartati, Hidayu, Khuliyatun, Achek (Noraiza), Zuraiha, Siti Razuna, Anita Saleh, Rosminah, Norazmi, Norizam, Zamri, Bihar dan Berantas. Walaupun sekejap dan terpaksa bergegas pulang ke Bangi, sekurang-kurangnya dapat juga bertukar cerita dan nombor telefon. Semoga silaturrahim kita kekal berpanjangan. Saya juga telah bertemu dengan anak saudara saya (Cikgu Dewi Rina) yang menjadi salah seorang guru di sekolah ini.
Backdrop Majlis Makan Malam Alumni SK Sijangkang.

Meja nombor 7 : Dari kiri; Hartati, Achek, Siti Razuna, Zuraiha, Anita, Hidayu, Habibah (saya), Jamal (suami saya)
Saya memasuki Sekolah Kebangsaan Sijangkang agak lewat berbanding rakan-rakan lain. Satu penggal di Methodist English School (MES) di Banting agak membebankan bagi kami adik-beradik yang berulang dari Sijangkang ke sekolah. Bangun tidur sekitar 4.30 pagi, membonceng basikal sejauh satu km sebelum menaiki bas ke Banting setiap hari amat memenatkan. Pada waktu petang pula, kami tiba di rumah sekitar jam 3.00 petang. Maka, saya dan dua orang kakak pun berpindah ke sekolah ini pada tahun 1975 selepas 4 bulan bersekolah di MES.
Hari pertama memasuki Darjah 1C seliaan Cikgu Sumiah sangat mengujakan. Sebagai murid baru, tempat duduk tidak mencukupi. Sejurus selepas diperkenalkan kepada rakan-rakan sekelas, ada pelajar yang tolong angkat kerusi dan meja untuk saya duduk. Tidak lama kemudian beberapa orang murid perempuan mula menyapa dan berkenalan manakala budak lelaki hanya senyum-senyum dari jauh. Antara rakan yang mula menyapa ialah Khuliyatun (ketua Darjah 1C), Zuraiha dan Isnani. Lama-kelamaan kawan pun semakin ramai. Rakan-rakan darjah 1C yang masih diingati ialah Masitah, Zaratullail, Faridah, si kembar Rusina dan Rusini, Muzamil, Sa'don, Husaini (Atan), Mohd Alaqod, Nisrina dan beberapa orang lagi.
Siti Razuna, Zuraiha dan Anita Saleh.
Achek dan Khuliyatun (ketua Darjah 1C 1975).
Bihar (Rakan sekelas dari Darjah 2A hingga 6M) dan Sahalan.
Azmi dan Zamri (kami duduk bersebelahan sewaktu Darjah 4M).
Dr Hartati (Rakan sekelas dari darjah 2A hingga 6M) dan Achek.
Hidayu dan Habibah (saya).
Kehadiran pelajar dalam kelas ini tidak pernah penuh. Setiap hari ada saja murid yang tidak hadir atas sebab-sebab mereka yang tersendiri. Namun, perjalanan kelas sangat menyeronokkan. Cikgu Sumiah (cikgu idola sepanjang zaman persekolahan) yang cantik manis sangat pandai mengajar, bersifat keibuan dan sangat sabar melayan kerenah kami yang tidak makan saman. Sesetengah pelajar tidak boleh duduk diam. Suka berlari-lari dan berkejaran di dalam kelas sebaik sahaja cikgu duduk (bukan cikgu keluar) termasuklah saya sendiri. Mata pelajaran 'Tulisan' paling berpotensi untuk kami bermain-main kerana sebaik sahaja Cikgu Zainal masuk kelas, beliau akan menulis 'Ini sekaki payung' dan melukis gambar sekaki payung di sebelah tulisan berkenaan. Selepas memberi arahan "Murid-murid, sila salin ayat ini. Siapa dah siap boleh hantar" dia akan duduk di meja guru sehingga waktu tamat. Bagi budak yang sudah pandai menulis dan melukis, saya siapkan tugasan ini dalam masa yang singkat. Masa yang selebihnya saya habiskan untuk bermain-main di dalam kelas. Meja di kelas ini disusun dalam empat barisan yang mana setiap satunya terdiri daripada beberapa meja yang disusun saling menghadap. Bahagian bawah meja yang bersambung itu kelihatan seperti terowong yang menganjur dari hadapan ke belakang kelas. Sudah tentulah ia sangat menarik untuk diterokai terutama bagi saya yang duduk di meja kedua dari belakang.
Lakaran bilik Darjah 1C 1975.
Suatu hari, selepas penat bermain-main di bawah meja, tidak sedar saya tertidur di situ sehinggalah tiba ke mata pelajaran yang seterusnya. Apabila terjaga dari tidur, terlihat Cikgu Sumiah sedang merenung saya yang mengerekot di atas lantai sambil berkata "Habibah, saya ingat kamu dah mati!". Dengan muka selamba dan terpisat-pisat, sayapun kembali duduk ke tempat asal. Terlintas di fikiran ketika ini, kalaulah saya menjadi budak-budak pada tahun 2013, mungkin dipaksa atau terpaksa bertemu kaunselor atau menjalani rawatan psikiatri kerana terlalu aktif (hyperactive). Mujurlah, pada 1975 keaktifan sebegini dianggap sebagai 'nakal' dan tiada rawatan untuk nakal.
Kepada cikgu-cikgu dan rakan-rakan yang mengenali diri saya sewaktu zaman persekolahan lebih 3 dekad yang lalu, saya memohon maaf atas segala kenakalan yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak. Semua itu menjadi kenangan manis buat saya.
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013
No comments:
Post a Comment