Dah ada Astro Beyond pun masih tak jumpa rancangan yang menarik. Keluh saya sendirian sambil menekan-nekan punat alat kawalan jauh TV flatscreen di ruang tamu rumah. Punyalah mewah zaman sekarang ni. Hampir semua rumah ada televisyen walaupun tinggal di kawasan perumahan kos rendah ataupun ceruk kampung. Sesetengah rumah pula mempunyai lebih dari sebuah TV. Ruang tamu satu, dalam bilik satu. Ataupun TV untuk mak bapak satu, TV anak-anak satu. Saluran pula berbagai-bagai. Kalau tidak berlanggan Astro pun boleh menonton TV1, TV2, TV3, ntv7, TV9 dan 8tv.
Zaman saya kecil dulu (1975-1976), hanya ada beberapa buah rumah sahaja di kampung yang mempunyai TV hitam putih. Saluran pula hanya TV1 dan TV2. Itupun bersiaran dari pukul 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Pada hari sabtu, siaran bermula awal sedikit iaitu pukul 3.00 petang. Cerita berbahasa Melayu hanya ada dua slot sahaja iaitu Tayangan Gambar Melayu (Jumaat malam Sabtu) dan Drama Minggu Ini (Ahad malam Isnin).
Hari Jumaat malam Sabtu adalah waktu siaran yang kami tunggu-tunggu. Setiap malam Sabtu, kami akan berjalan kaki ke rumah jiran yang terletak kira-kira 500 meter jauhnya semata-mata untuk menonton Tayangan Gambar Melayu. Memandangkan rumah arwah Mbah Kam adalah jiran paling hampir (ada pertalian saudara pula tu) yang mempunyai TV, kami pun berduyun-duyun berkunjung ke rumahnya. Siap bawa tikar bantal lagi. Kadang-kadang sampai tertidur di rumah jiran sebelum cerita tamat. Jenuh pula nak kejut suruh balik.
Kami menonton TV di rumah jiran sehingga tertidur sebelum cerita tamat.
Sketsa oleh Cik Akir (dialog dalam bahasa Jawa).
Ceritanya masih sama macam sekarang iaitu wayang hitam putih lakonan allahyarham P.Ramlee dan pelakon-pelakon seangkatan dengannya di selang-seli dengan wayang dari Indonesia lakonan Benjamin S. Jika minggu ini cerita Melayu, minggu depan pula cerita Indonesia. Kami tak tengok Drama Minggu Ini kerana esok sekolah.
Sepanjang tayangan gambar berlangsung, hanya ada sekali sahaja slot iklan iaitu di pertengahan cerita. Kalau dah iklan, maksudnya, cerita tinggal separuh lagi. Tak adalah macam menonton TV sekarang ni. Sekejap-sekejap diganggu iklan. Lama pula tu, sampai terlupa sambungan cerita sebelum iklan tadi. Jika ada cerita yang menarik, Cik Akir (pak cik) akan bawa tape recorder untuk merakam suara wayang berkenaan dari corong TV. Bolehlah kami dengar semula cerita itu pada hari-hari lain.
Kami dah tak bertandang ke rumah jiran lagi apabila Cik Akir membeli sebuah peti televisyen hitam putih. Pada tahun 1978, TV warna mula memasuki pasaran Malaysia. Kami mula bertandang lagi ke rumah jiran yang ada TV warna. Agaknya Cik Akir terdengar kami mengumpat sewaktu dalam perjalanan ke rumah jiran 'Rumah Cik Akir dah tak laku sebab tak ada TV kaler' sebab tak lama selepas tu dia beli TV warna baru :D
Habibah Hj Jamil
Bangi 2013
No comments:
Post a Comment